http://1keris.blogspot.com

Video : Pahlawanku di Lahad Datu

Showing posts with label PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN. Show all posts
Showing posts with label PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN. Show all posts

Thursday, February 21, 2013

MALAYSIA NEGARA ISLAM...........


Adakah Malaysia Negara Islam atau Sekular?




Perkara 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan agama Islam adalah agama bagi Persekutuan bukan satu peruntukan sia-sia.
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, dengan adanya peruntukan itu negara Malaysia dikenali dunia sebagai sebuah 'negara Islam'.

"Di mata dunia, Malaysia bukan sahaja dilihat sebagai sebuah negara Islam, malah negara Islam contoh di abad ini. Malaysia juga dianggap sebagai contoh sebuah negara Islam maju di zaman ini," katanya.

Abdul Hamid berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk 'Islam dan Tafsiran Keperlembagaan oleh Mahkamah di Malaysia' pada Muzakarah Pakar bertajuk 'Malaysia: Kemelut Negara Islam Negara Sekular' anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) semalam.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk pembangunan dan perkembangan perbankan Islam, kewangan Islam, dan takaful sehingga negara berada pada tahap ke hadapan dalam bidang itu.

Abdul Hamid berkata, rakyat juga boleh melakukan aktiviti keislaman termasuk membina universiti, kolej, masjid dan sekolah.
   
Mengenai tajuk muzakarah itu berkaitan negara sekular, Abdul Hamid yang merujuk kepada penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Che Omar Che Soh melawan pihak pendakwaan pada 1988, berkata dalam penghakiman itu perkataan 'secular' disebut sebanyak tiga kali.
  
"Kali pertama dalam rangkai kata 'secular institutions' semasa memetik daripada buku karangan M.B.Hooker. Dua kali lagi dalam rangkai kata 'secular law' semasa merujuk kepada undang-undang yang berkuat kuasa pada hari Kemerdekaan," katanya.
  
Abdul Hamid berkata, penghakiman itu menggunakan perkataan 'secular' bukan untuk menggambarkan negara tetapi menggambarkan institusi-institusi dan undang-undang.
  
"Itu pun penggunaannya pada pandangan saya tidak tepat dan perkataan itu tidak perlu digunakan. Disebabkan oleh kepentingan politik dan kumpulan, ia kerap dipetik di luar konteks bagi mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular, sedangkan Perlembagaan Persekutuan tidak sekali pun menggunakan perkataan itu," tegasnya.

Juga merujuk kepada penghakiman kes itu yang didengar lima hakim dan ditulis oleh bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abas, Abdul Hamid berkata beliau juga bersetuju dengan penghakiman itu bahawa Perkara 3(1) itu tidak dengan sendirinya menjadikan semua undang-undang yang bercanggah dengan syariah adalah tidak sah dan batal.

Beliau juga berkata kerapkali peguam sivil tidak tahu bahawa sesuatu undang-undang yang sedia ada itu adalah patuh kepada syariah malah serupa dengan syariah manakala ahli-ahli syariah pula tidak tahu bahawa prinsip-prinsip syariah telah pun dijadikan undang-undang.
   
"Saya percaya jika hari ini diisytiharkan Malaysia akan melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya, lebih daripada 90 peratus undang-undang yang sedia ada tidak akan berubah," katanya.

   
"Bayangkan jika tidak ada perisytiharan mengenai Perkara 3(1) itu dalam Perlembagaan Persekutuan, bolehkah semua itu dilakukan?" katanya.  

Semasa sesi soal jawab berhubung pembahagian bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, Abdul Hamid mencadangkan jika terdapat isu syariah di mahkamah sivil seorang hakim mahkamah syariah hendaklah dipinjam untuk bersidang bersama hakim mahkamah sivil.
  
Beliau juga berkata, kedua-dua mahkamah itu boleh digabungkan dan diletakkan di bawah bidang kuasa mahkamah persekutuan.
  
Bagaimanapun bekas ketua hakim negara itu berkata, perkara itu tidak akan berlaku kerana ia memerlukan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan dan memerlukan bidang kuasa terhadap mahkamah syariah dipindahkan kepada kerajaan persekutuan.
  
Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz dari Jabatan Undang-Undang Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ketika membentangkan kertas kerjanya pula berkata tiada bukti yang menunjukkan negara ini pernah menjadi negara sekular.
  
"Ada dua bentuk sekular iaitu bentuk sekular yang rigid (ketat) atau sekular yang fleksibel (anjal). Kedua-duanya tidak wujud di negara ini," katanya.
  
Muzakarah Pakar Malaysia: Kemelut Negara Islam Sekular membentangkan tiga kertas kerja bertajuk 'Pemasukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan" oleh Dr Shamrahayu.
  
Dua lagi oleh Abdul Hamid dan Prof Emeritus Datuk Paduka Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, Dekan Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM, bertajuk 'Pra-syarat dan Ciri-Ciri Negara Islam: Aplikasi Semasa di Malaysia.'
  
Muzakarah selama tiga jam setengah itu menjelaskan kedudukan, tafsiran dan implikasi sebenar Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, membetulkan salah tanggapan dan salah tafsiran ke atas penghakiman kes Che Omar, serta mengemukakan resolusi muzakarah kepada pihak berwajib, parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain yang berkepentingan.
  
Ahli Lembaga Pengarah Ikim, Datuk Faiza Tamby Chik menjadi moderator semasa perbincangan muzakarah itu. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comment Box

Like Button

Activity Feeds